Friday, April 15, 2011

ALLAH...Aku...Dan....Proto-Type

Melihat proto-type yang dah siap sebanyak 70%, saya teringat pada waktu mula-mula dulu ketika saya melihat buku cahayaku. Perasaan yang sama dengan soalan yang sama. Berjaya atau tidak. Dapat sambutan atau tidak. Biasalah manusiakan. Tetapi saya yakin proto-type ini akan 'meletup' kerana selama yang telah saya buat percubaan dengan yuran yang agak mahal, sambutannya masih menggalakkan dikalangan kanak-kanak OKU dan disleksia.

Pertama kali saya melihat buku CAHAYAKU pula, saya seakan-akan bermimpi apabila melihat nama saya menjadi tajuk pada kulit buku yang dah siap dicetak. Didalam hati tertanya-tanya adakah buku ini akan menjadi sebutan dan dikenali masyarakat. Macam-macam perasaan yang hadir pada ketika itu. Takut pun ada. Takut tak menjadi.

Pernah pada suatu pagi suami saya Zahari bertanya kepada saya tentang harapan saya terhadap buku cahayaku. Ketika itu harapan saya tidaklah setinggi mana hanya sekadar ingin melihat murid-murid tadika memegang buku saya di tangan manakala buku-buku yang lain ada didalam beg dan orang bercerita tentang cahayaku kepada saya tanpa mengenali siapakah penulisnya. Jawapan zahari ringkas katanya insyaallah dan mungkin lebih dari itu. Selang beberapa tahun baru saya nampak hasilnya.

Saya melihat seorang murid tadika berjalan pulang bersama ayahnya sambil membimbit buku CAHAYAKU ditangan sedangkan dia menggalas sebuah beg di bahunya. Terus saya bersuara dan memberitahu suami bahawa budak itu tidak menyimpan buku cahayaku didalam beg. Satu persoalan. Kenapa? Apa pun alasannya saya merasa sangat bangga kerana menandakan betapa sayangnya dia terhadap buku cahayaku.

Satu lagi peristiwa ialah ketika di Tabung Haji. Waktu itu saya sedang menunggu giliran untuk nombor saya di panggil. Disebelah saya ada dua orang wanita yang sedang rancak bercerita tentang anak mereka yang sudah pandai membaca ketika berumur 4 tahun. Wanita A yang duduk disebelah saya mengatakan bahawa dia telah menghantar anaknya di sebuah tadika yang menggunakan buku cahayaku. Hasilnya sungguh menakjubkan kerana anaknya yang masih kecil sudah boleh membaca. Cerita wanita tersebut disokong oleh wanita B yang duduk disebelah wanita A. Anaknya juga sudah pandai membaca sambil dia memuji-muji cahayaku. Dengan tiba-tiba peha saya di tepuk oleh wanita A sambil bertanyakan kepada saya adakah saya mempunyai anak yang berumur di peringkat tadika. Kerana terpegun  saya terus menganggukkan kepala tanda ada. Sebenarnya anak-anak saya besar-besar semuanya. Dia terus mengesyorkan kepada saya untuk mencari tadika yang menggunakan buku cahayaku untuk anak-anak saya. Katanya lagi saya tidak akan menyesal.

YA ALLAH kau telah kabulkan doaku.......saya tidak dapat menahan sebak didada dan dengan tiba-tiba airmata mengalir di pipi saya. Kalau tiada oranglah disitu ingin rasanya saya melakukan sujud syukur menandakan betapa hati saya merasakan pemberian ALLAH terhadap saya terlalu banyak. Tidak ada perkataan yang dapat saya katakan dan tidak ada ucapan yang dapat saya ucapkan. Satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan. Hanya DIA saja yang tahu...........semenjak pada hari itu saya menjadi takut untuk melakukan walau sedikit pun dosa. Terasa dihati betapa sayangnya ALLAH terhadap saya.

Sebenarnya semenjak saya melibatkan diri didalam perniagaan saya menjadi begitu berharap dengan pemberian ALLAH semata-mata. Bangun saja dari tidur sebelum solat subuh saya pasti bertanya didalam hati ada tak rezeki saya pada hari ini. Setiap hari saya akan sentiasa berdoa kepada ALLAH memohon agar di permudahkan perjalanan hidup dan perniagaan saya. Di dalam hati saya hanya ada DIA.

No comments:

Madah Penyelidik Senior Cahayaku

Covid memenuhi dunia. Manusia makin pupus ditelan keadaan. Manusia mungkin tidak berdaya melangkah kemasa depan. Politik pula mengila me...