Friday, April 1, 2011

Pengalaman 3

Bila sebut pasal tadika, yang orang ramai nampak adalah bangunan yang berwarna-warni dan budak-budak. Ramai yang tidak tahu bukannya senang untuk menjalankan perniagaan sebagai seorang pengusaha tadika. Bayangkan kalau kita ada 100 orang pelajar sudah pasti kita ada 100 orang kanak-kanak yang bermacam ragam dengan 100 orang mak dan 100 orang bapak yang perangai mereka lagi lah memeningkan kepala.  Ada di antara mak bapak yang dah terlalu senang sehingga urusan tadika pun mereka ingin ambil tahu.

Saya memang tidak pernah terlintas untuk melibatkan diri dengan perniagaan 'servicing' kepada masyarakat ni. Sememangnya kita tidak dapat nak memuaskan hati semua manusia yang menghantar anaknya kepada kita. Apa pun dengan keadaan anak yang pada awalnya menulis dan membaca pun tak tahu tetapi akhirnya boleh menguasai membaca, menulis dan mengira pada pandangan saya itu sudah lebih dari cukup. Masyarakat tidak tahu dan sengaja tidak mahu ambil tahu akan peranan seorang guru tadika. Adakalanya guru-guru tadika ni langsung tidak di hargai. Kalau di perhatikan mereka inilah yang telah bersusah-payah mendidik anak-anak sedari usia 2 tahun.

Menjadi guru tadika kepada kanak-kanak normal tidak sama dengan menjadi guru kepada anak-anak istimewa. Bertahun saya menceburi diri dengan mengajar kanak-kanak ini dan yang paling saya suka ialah telatah mereka. Kanak-kanak autism dengan dunia mereka, sindromdowm dengan telatah mereka manakala kalau yang OKU dan lembam lain pulak keadaannya. Kalau di perhatikan kanak-kanak ini sentiasa sahaja berhingus. Tak tahulah mungkin kerana antibodi mereka agak lemah. Ada yang suka makan tahi hidung, hingus dan macam-macm lagi. Adakalanya ketika saya bercakap tak semena-mena tahi hidung dah masuk ke dalam mulut. Pernah juga dengan keadaan mereka yang berhingus itulah mereka terus mencium kita. Yang peliknya bukan di pipi tetapi terus ke mulut kita. Itu perkara biasa. Tandanya mereka sayangkan kita. Kalau dapat yang suka mencium naik rimas kita dibuatnya. Kejap kejap cium. Tak hairan ada juga yang suka meraba-raba tangan dan macam-macam lagi. Pada saya perkara sebegitu sudah menjadi kebiasaan mungkin itu cara mereka untuk mendekatkan diri dengan kita.

Awal persekolahan selalunya memang menjadi masalah kerana masa itu lah mereka di pisahkan dari rumah dan untuk ke tempat baru bukan semua murid boleh menerimanya. Pernah pada satu pagi saya memujuk seorang kanak-kanak yang sedang menangis. Sebaik saja saya berhenti bercakap dia terus memuntahkan susunya ke muka saya. Bayangkan macamana keadaan saya ketika itu. Syukur masa tu mulut saya tertutup rapat kalau tak terus kedalam mulut. Bau masamnya tak tertanggung. Walaupun tugas mendidik ini sememangnya berat tetapi saya suka melakukannya. Saya rasa puas apabila saya berjaya membuat pelajar-pelajar ini membaca.

Baru-baru ni saya didatangi seorang kanak-kanak OKU yang bernama Q. Saya kagum melihatnya kerana cita-citanya ialah untuk menjadi seorang guru. Ketika mengajar Q saya dapati dia adalah seorang kanak-kanak yang senang untuk menerima arahan dan cepat faham. Dia sememangnya tidak tahu apa-apa samaada A B C atau 1 2 3. Selepas beberapa kali saya ajar dalam masa 1 setengah jam dia dah boleh menguasai vokal dan diftong. Cahayaku memang mudah jadi tidak ada masalah bagi Q. Dari kanak-kanak istimewa saya pernah mengajar kanak-kanak sekolah rendah yang berada di dalam kelas pemulihan. Saya sendiri ke sekolah untuk mengajar mereka. Dalam masa 3 bulan mereka boleh membaca suratkhabar, menulis dan mengeja. Semasa mengajar mereka saya dapat rasakan bahawa mereka ni bukanlah bodoh cuma tidak kena dengan kaedah itu saja.

Lain pula di tadika. Kanak-kanak yang berumur 3, 4, 5 dan 6 tahun memang sungguh keletah. Ada yang nakal, buas dan kalau diam memang mulut macam ada berlian susah nak bersuara. Pernah pada satu masa ketika saya mengajar sains saya pernah bertanya kepada mereka tentang binatang dan makanan. Kalau arnab makan lobak, monyet makan pisang dan tiger? Jawab mereka biskut. Saya ketawa macam nak pecah perut dan budak-budak tu pun ikut sama seolah-olah mereka faham kenapa saya ketawa. Ada juga yang menceritakan kepada saya yang dia nak masak bila balik sekolah nanti. Bila saya tanya, "kamu mana boleh masak". Dia jawab boleh sebab Sin Chan yang baru berumur 5 atau 6 tahun sudah pandai masak. Begitulah setiap hari ada saja cerita mereka. Katun menjadi idola mereka. Duduk dengan budak-budak ni membuatkan saya merasa semakin hari saya semakin muda dan tidak pernah merasa umur ni semakin hari semakin meningkat. Dunia saya hanyalah dengan kanak-kanak. Kalau sehari saya tidak bersama mereka saya rasa tidak sempurna perjalanan hidup saya pada hari itu.

Pernah pada satu petang sewaktu dipejabat, ketika itu saya sedang mengajar kanak-kanak membaca. Saya telah di datangi oleh seorang perempuan yang separuh umur. Saya tidak mengenalinya dan tidak pernah berjumpa dengannya. Dia telah memeluk dan mencium saya bertalu-talu sambil mengatakan betapa murninya kerja yang telah saya lakukan ini. Saya terpinga-pinga dan ibu-bapa yang ada disitu pun terpinga-pinga. Sehingga sekarang wajah wanita itu masih di ingatan saya dan kalau di berikan peluang saya ingin bertemu dengannya sekali lagi. Dia berjubah dan bertudung hitam. Sungguh misteri kerana pelukkannya terlalu erat seolah-olah tidak mahu melepaskan saya. Ciumannya pun tidak sama kerana dia mencium saya dengan sepenuh hati.

Minggu depan saya akan ke sebuah sekolah menengah untuk menyelesaikan masalah bacaan di kalangan pelajar disana. Ini lah jariah yang dapat saya lakukan dan kalau ada video nanti akan saya uploadkan. Insyaallah.........Nantikan cerita saya bersama-sama dengan mereka.

No comments:

Madah Penyelidik Senior Cahayaku

Covid memenuhi dunia. Manusia makin pupus ditelan keadaan. Manusia mungkin tidak berdaya melangkah kemasa depan. Politik pula mengila me...